Agrobank Perluas Ekosistem Perbankan Luar Bandar Melalui Cawangan di Bukit Pelanduk
Agrobank hari ini telah merasmikan Agropoint terbaru di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan menandakan satu pencapaian penting dalam meluaskan akses perbankan kepada masyarakat di luar bandar.
Kedudukannya yang strategik di Taman Merpati, Agropoint baharu ini dilengkapi dengan kemudahan perbankan moden, termasuk mesin ATM dan Cash-In-Cash-Out. Ia menawarkan perkhidmatan perbankan komprehensif seperti pembukaan akaun, pengeluaran kad ATM, dan pelbagai produk berasaskan fi, termasuk perkhidmatan Takaful dan penulisan wasiat. Fasiliti ini juga menyediakan servis khidmat nasihat untuk produk pembiayaan runcit dan mikro.
Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, berkata, “Pembukaan Agropoint di Bukit Pelanduk bukan sekadar untuk meluaskan rangkaian fizikal – ia melambangkan komitmen kami terhadap keterangkuman kewangan dan pembangunan komuniti. Sebagai bank pertama yang menubuhkan rangkaian fizikal dengan perkhidmatan kaunter di kawasan ini, Agrobank memenuhi mandatnya untuk menyediakan perkhidmatan kepada komuniti yang kurang mendapat perhatian, terutamanya dalam sektor pertanian. Inisiatif ini selari dengan misi kami untuk menyediakan perkhidmatan perbankan yang mudah diakses di samping menyokong pembangunan sosio-ekonomi masyarakat luar bandar.”
Agropoint Baharu ini menyediakan perkhidmatan kepada kira-kira 20,000 penduduk di kawasan Chuah, meliputi pelbagai aktiviti ekonomi, termasuk perladangan kelapa sawit, perikanan, pelancongan, dan perniagaan kecil. Ianya beroperasi lima hari seminggu pada waktu perbankan biasa dan dikendalikan oleh wakil perkhidmatan pelanggan yang terlatih yang menyediakan perkhidmatan nasihat kewangan peribadi.
Pembukaan ini adalah sebahagian daripada strategi Agrobank untuk meningkatkan akses perbankan di samping menyokong pembangunan Malaysia Vision Valley (MVV) di kawasan Port Dickson yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan komuniti di rantau ini.
Majlis pelancaran ini telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin Haji Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan, selaras dengan sokongan kerajaan negeri terhadap inisiatif yang meningkatkan keterangkuman kewangan dan pembangunan luar bandar.
Penubuhan Agropoint ini membuktikan komitmen Agrobank dalam menyediakan perkhidmatan kepada komuniti yang kurang mendapat perhatian di samping menyokong visi negeri untuk menjadi sebuah negeri yang makmur, inklusif dan mampan menjelang 2045, seperti yang digariskan dalam Rancangan Struktur Negeri Sembilan 2045.