AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank Santuni 4000 Komuniti Terpinggir Melalui Inisiatif Agrobank X Food4U Sejajar Matlamat Pembangunan Mampan



Agrobank hari ini telah melancarkan inisiatif tanggungjawab sosial korporat terbaru, Agrobank X Food4U bertujuan menghulurkan sumbangan makanan kepada komuniti yang kurang berkemampuan, khususnya golongan gelandangan di sekitar ibu negara Kuala Lumpur.

Menurut Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin semasa Majlis Pelancaran Agrobank X Food4U, “Setiap individu berhak mendapat akses kepada keperluan asas seperti makanan. Namun begitu, terdapat ramai individu kurang bernasib baik yang berdepan kesukaran untuk mendapatkan makanan harian. Oleh itu, sebagai institusi kewangan pembangunan yang komited terhadap agenda keterjaminan makanan, Agrobank bertanggungjawab memainkan peranan aktif dalam mendukung Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2: Sifar Kelaparan menjelang 2030. Usaha ini bukan sekadar menghulurkan makanan yang bersih dan bernutrisi, tetapi juga menyantuni dan memperkasakan golongan yang memerlukan, agar mereka tidak terpinggir.”

“Inisiatif Agrobank X Food4U akan dijalankan secara berterusan selama 10 minggu dan ia melibatkan pengagihan 400 pek makanan setiap minggu di Pusat Pembelajaran Komuniti Jalan Chow Kit. Melalui pengagihan makanan di kawasan tumpuan golongan yang terpinggir, Agrobank dapat memastikan jangkauan bantuan yang lebih luas kepada mereka yang memerlukan. Sejajar dengan aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 3: Kesihatan yang Baik dan Kesejahteraan, kami bukan sahaja mengisi keperluan fizikal semata-mata, malah turut menyantuni keperluan rohani, demi membentuk impak yang berkekalan dalam kehidupan mereka.”

Agrobank terus komited dalam melaksanakan pelbagai inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bagi memberi impak positif kepada masyarakat. Sepanjang tahun ini, beberapa program CSR telah dianjurkan termasuk Program Sumbangan “Back To School”, pemberian angpau sempena sambutan Tahun Baru Cina serta Majlis Pelepasan Anak Ikan bersempena inisiatif Aquaculture Aspire.

Melalui inisiatif Agrobank X Food4U, Agrobank akan berada di Pusat Pembelajaran Komuniti Jalan Chow Kit setiap hari Khamis atau Jumaat dari Julai hingga September 2025. Usaha ini memperkukuh peranan Agrobank dalam pembangunan keterjaminan makanan negara serta mencerminkan nilai kemasyarakatan dan keprihatinan yang menjadi teras kepada komuniti yang mampan.