AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank Perkasa Usahawan Tempatan Melalui Program Agrobank Upward Migration (AUM)



Agrobank hari ini memperkasa usahawan tempatan yang menceburi bidang perniagaan kecil, mikro dan sederhana melalui Program Agrobank Upward Migration (AUM). Inisiatif yang dikendalikan oleh Agrobank Centre of Excellence (ACE) ini bertujuan membantu para usahawan untuk mengembangkan perniagaan mereka yang sekaligus meningkatkan ekonomi tempatan. Program ini memberi tumpuan khusus kepada sektor-sektor yang menyumbang kepada keseluruhan rantaian bekalan makanan.

Sebagai pengiktirafan kepada usahawan-usahawan yang telah menamatkan Program AUM, Agrobank telah menganjurkan Majlis Aspirasi Kecemerlangan yang melibatkan usahawan di bawah penyeliaan pihak Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC). Dalam majlis ini, Agrobank meraikan lima (5) syarikat yang telah berjaya menonjolkan pencapaian cemerlang dalam kategori seperti Peningkatan Jualan, Pengembangan
Perniagaan, Penciptaan Pekerjaan, Penambahan Kapasiti (Teknologi) dan Penambahan Kapasiti (Pembiayaan).

Menurut Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, “Program AUM merupakan program berstruktur selama 12 bulan yang merangkumi sesi latihan kelas secara fizikal dan atas talian, serta sesi bimbingan di premis usahawan. Antara modul yang disediakan bagi program ini termasuk Seni Urus Kewangan, Pemasaran Digital, Penetapan Sasaran Syarikat dan Pengurusan Bisnes Gaya Korporat.”

“Modul pembelajaran ini membuka peluang kepada usahawan Kecil, Sederhana dan Mikro yang berpotensi untuk mengembangkan perniagaan mereka. Dalam dunia perniagaan yang kompetitif, mereka dapat mengaplikasikan kemahiran dan ilmu yang diperolehi untuk menjadi usahawan berdaya saing, serta memastikan kelangsungan dan pertumbuhan perniagaan yang berterusan.”

“Selain itu, sesi bimbingan one-to-one juga turut diadakan bagi memudahkan para usahawan tempatan menerima panduan mengikut keperluan perniagaan mereka dan membantu mereka kekal relevan dalam keadaan ekonomi yang sentiasa berkembang ini. Pendekatan ini juga dapat menjamin setiap strategi yang dipelajari dapat diaplikasikan secara praktikal dalam operasi harian perniagaan mereka.”

“Daripada 29 syarikat yang telah menamatkan Program Agrobank Upward Migration (AUM) di negeri-negeri pantai timur termasuk Pahang dan Terengganu, sebanyak 13 syarikat telah mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 10%, manakala 12 syarikat mencatatkan peningkatan jualan melebihi 20% berbanding tahun sebelumnya. Di samping itu, lima (5) syarikat berjaya mendapatkan pembiayaan tambahan sebanyak RM390,000.00 secara keseluruhan. Sehingga kini, program ini masih diteruskan dengan mensasarkan sebanyak 200 syarikat untuk dibimbing pada tahun 2025.”

Agrobank komited memajukan ekosistem usahawan tempatan, khususnya dalam sektor pertanian dan agromakanan. Melalui inisiatif strategik ini, ia bukan sekadar mendorong pertumbuhan ekonomi mikro, tetapi turut menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi komuniti melalui peluang pekerjaan baharu dan peningkatan taraf pendapatan.